Ahad, 18 Oktober 2015

Jerebu lagi

Teks: Aminah Mahmud


Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini jerebu lagi. Hari ke 24 saya berpantang. Jenguk ke luar rumah jelas ketara keadaan jerebu yang teruk. Sementelahan saya masih lagi dalam perintah berkurung kerana berpantang, jadi tiada masalah apabila sekolah diberikan cuti. Anak-anak boleh sahaja berada di rumah tanpa perlu ayahnya mengambil cuti. Ramai sudah ibu bapa yang mengeluh apabila sekolah dicutikan kerana beberapa siri jerebu kali ini. Mengeluh kerana mereka juga sudah kekurangan cuti rehat yang perlu diambil untuk menjaga anak. Walaupun sesetengah ibu bapa masih boleh membawa anak-anak ke tempat kerja, namun tidak semuanya selesa untuk membawa anak ke pejabat dengan kerap. Oh, begitulah dilema ibu bapa yang bekerja!

Suami pesan jangan biarkan anak keluar bermain di luar rumah. Jerebu sangat teruk. Dikhuatiri ada efek untuk mereka. Malah orang dewasa juga harus berhati-hati. Seminar tentang udara dan jerebu di fakulti tempat suami bekerja, penceramah memberitahu bahawa partikel jerebu adalah sangat halus dan mampu memasuki ruang pernafasan hingga ke paru-paru. Kesannya sama ada cepat jika mempunyai masalah kesihatan seperti asma  dan kesan jangka panjang sekiranya partikel jerebu ini sudah termendap lamanya.

* Kanak-kanak di bawah umur setahun rupanya belum mempunyai bulu hidung. Jadi mereka lebih berisiko jika terdedah kepada jerebu kerana hidung tidak mampu menapis bendasing atau partikel yang disedut ketika bernafas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan