Jumaat, 12 September 2014

Gegak gempita soalan UPSR 2014 bocor


Teks : Aminah Mahmud

Gambar : carian google

Soalan UPSR 2014 bocor! 

Gegak gempita seantero alam Malaysia berita ini menjadi bualan. Menyatakan rasa kasihan buat anak-anak yang baru berumur 12 tahun yang mungkin telah bertungkus lumus membuat persediaan rapi untuk menempuh ujian UPSR. Tup tup soalan bocor. Kasihan mereka jika terpaksa mengulang semula ujian ini hanya kerana kelalaian dan kerakusan pihak yang tidak bertanggungjawab membocorkan soalan UPSR tersebut.

Persoalannya kenapa harus bocor? Tekanan apakah dalam sistem pendidikan hingga ada pihak berusaha untuk mendapat soalan bocor ini. Harapan agar perkara ini tidak berulang lagi.





Khamis, 11 September 2014

Buat kek marble guna pressure cooker noxxa


Teks : Aminah Mahmud

Assalamualaikum.

Bulan september sudah menjelma. Bulan ini kami menyambut hari ulangtahun kelahiran anak yang sulung dan ketiga. Kedua-duanya lahir pada bulan september. Jadi, kita raikan sambutan berganda buat mereka berdua. Sejujurnya keluarga kami tidaklah terlalu obses untuk meraikan hari jadi setiap tahun. Malah ada tahun-tahun yang kami tidak raikan dan berlau begitu sahaja. Sebenarnya saya tidak begitu menggemari majlis sambutan hari jadi yang besar-besaran dan kelihatan sudah menjadi trend dan ikutan rakyat Malaysia di bandar khususnya. Pada saya ini salah satu penyebab duit bocor di kalangan ibu bapa. hoho. Oh, tetapi pandangan ini berkecuali dan bergantung pada status kewangan dan gaya hidup masing-masing. 






Pulang dari tempat kerja, sempat saya cari tepung kek marble segera yang saya beli di pasaraya. Cuma perlu tambah telur sahaja. Bahan-bahan lain semuanya sudah tersedia di dalam pek segera tersebut. Jadi apalagi, terus putar semua bahan. Apabila semua bahan dah sebati terus tuang dalam inner pot pressure cooker Noxxa. Saya setkan pada fungsi steam selama 20 minit. Pastikan juga tombol pada fungsi steam dan jangan risau jika ada bunyi yang keluar. Ia adalah normal. Selepas 20 minit kek marble siap!

Selamat hari ulangtahun buat anak ummi....Nur Izzah dan Muhammad Al-Azhad.
                                
                                    

Isnin, 8 September 2014

Anak ramai?


Teks : Aminah Mahmud

Ketika menghadiri satu majlis kenduri kahwin, kami duduk semeja dengan sepasang suami isteri, sebab tiada ruang kosong yang cukup di meja lain untuk kami anak beranak. Selepas kami dan anak-anak mengambil tempat, suami dan anak sulung bergegas untuk mengambil makanan dan minuman. Saya kira 3-4 kali juga suami berulang - alik mengambil juadah sebelum dia boleh duduk dan makan bersama-sama. Semasa makan, air minuman habis terpaksa bangun lagi untuk ambil air. Pendek kata makan dengan anak-anak kiri kanan tidaklah semudah yang disangka. Kita perlu dahulukan keperluan anak, suapkan anak dan pastikan mereka selesa.

Rupa-rupanya pakcik yang duduk semeja dengan kami tu perhati sahaja gelagat kami dan anak-anak. Sambil tersenyum dia berkata dan memberi nasihat supaya kami sentiasa bersabar melayani kerenah anak-anak. Sewaktu kecil sahaja kita akan rasa sungguh sibuk menguruskan mereka dan apabila mereka makin membesar, kesibukan itu akan beransur-ansur kurang. Selepas itu kalau mereka dah ke sekolah berasrama atau merantau bekerja pasti kita akan berasa sunyi dan teringat kenangan membesarkan mereka dahulu.

Dia mendoakan agar kami dikurniakan dan dimurahkan rezeki. Pakcik itu juga beritahu bahawa kami harus bersyukur punya anak yang ramai kerana zaman sekarang tak ramai yang mahu anak ramai. Hehe senyum sahaja kami mendengar kata-kata pakcik tu sambil mengangguk mengiyakan. Eh, tapi ramai ke anak kami? pada kami belum cukup ramai sebab kami sendiri punya adik beradik 7-8 orang di kedua-dua belah. Mungkin zaman sekarang bilangan anak 2 orang ke atas sudah dianggap banyak. Jadi, pada pandangan kalian berapa ramai anak yang dikatakan ramai tu?


wajah-wajah kesayangan

Penyejuk hati ummi dan ayah

Semoga jadi anak yang soleh dan solehah

Ahad, 7 September 2014

Cepat-cepat beli rumah

Teks : Aminah Mahmud

Saya selalu terjumpa dengan kawan-kawan yang sudah lama bekerja tetapi masih belum mempunyai atau membeli rumah sebagai aset. Apabila ditanya dan diselidik, rupa-rupanya mereka mahu membeli kediaman impian mereka yang memenuhi kriteria seperti rumah bertanah,tidak mahu rumah apartmen atau flat. Mahu rumah yang luas, rumah baru dan mahu tunggu harga rumah jatuh dan murah! Wah, ianya terlalu ideal kan.

Pada pandangan saya, kita perlu bermula walaupun dengan membeli sebuah rumah yang kecil sahaja. Mungkin rumah flat kecil sementara menanti kesempatan untuk upgrade rumah yang lebih besar apabila gaji semakin bertambah ataupun sudah naik pangkat. Jika hanya menunggu, khuatir harga rumah terus melambung dan rumah kecil pun kita tidak mampu beli apatah lagi yang besar. Terasa sangat rugi jika hanya menyewa dan membayar bulanan kepada tuan rumah, tetapi rumah tetap milik tuan rumah!


Si kecil masuk hospital



Teks : Aminah Mahmud

Assalamualaikum.

Anak kecil saya yang berusia 8 bulan dimasukkan ke wad hospital Serdang minggu lepas. Kronologi nya bermula dengan demam panas dan batuk. Pada malam jumaat, badannya dah panas dan saya tidak tidur malam kerana mengelap badannya yang panas dengan tuala basah. Keesokannya, dia masih demam tetapi saya dengan berat hati terpaksa juga hantar dia ke taska kerana saya ada mesyuarat di tempat kerja. Bekalkan ubat demam sahaja ke taska. Petangnya selepas balik kerja, saya rasa badannya masih dedar juga, belum kebah betul demamnya. Kebetulan hari sabtu kami ada tetamu yang bertandang ke rumah, jadi tidak berkesempatan nak bawa ke klinik. Hari ahad baru kami bawa ke klinik, dapat lagi ubat demam, ubat batuk dan antibotik. Pernafasannya agak laju bila diperiksa doktor, jadi kena buat nebulizer sekali.

Dipasang drip untuk masukkan air.

Hari isnin selepas maghrib sekali lagi kami berkejar ke klinik, doktor masukkan ubat demam ikut bontot sebab suhu badan yang tinggi dan disebabkan pernafasannya masih laju, diberikan nebulizer sekali lagi. Demamnya kebah pada hari selasa dan rabu tetapi dia tak mahu menyusu pula. Mungkin sebab tak selesa dan pernafasannya juga tercungap- cungap, terpaksa ke klinik lagi sekali dan selepas buat nebulizer, doktor buat surat untuk refer ke hospital kerana kemungkinan ada jangkitan pada paru-paru. Ini kiranya pengalaman pertama kali anak kena masuk wad kanak-kanak. 
  

 Kena neb lagi di hospital