Isnin, 21 Julai 2014

Taska oh Taska...

Teks : Aminah Mahmud

Salam Ramadhan


Terasa begitu cepat masa berlalu. Kini kita sudahpun berada di hujung Ramadhan. Bagaimana jadual harian kalian di bulan Ramadhan? Bagi saya yang masih bekerja di luar, bulan ini saya masuk ke pejabat jam 8 pagi dan balik 5 petang. Praktik waktu kerja anjal membolehkan saya mengambil pilihan masuk kerja pukul 8.30 pagi dan balik 5.30 petang pada bulan-bulan lain. Jadi, bulan puasa ni saya pilih supaya balik awal jam 5 petang, sempat sampai ke rumah sekitar jam 6 petang. 1 jam perjalanan dari pejabat ke rumah. Bolehlah sediakan juadah berbuka puasa. Berlainan pula jadual suami saya. Tempat kerjanya memang bagi pelepasan balik awal setengah jam. Best kan. Jadi, dia masuk kerja jam 8.30 pagi dan balik 5 petang.

Oh, saya nak ceritanya tentang pengasuh di taska anak kami. Semalam beliau beritahu suami supaya ambil anak-anak sebelum 5.30 petang. Kami faham sebab bulan Ramadhan, mungkin dia juga mahu cepat pulang ke rumah untuk sediakan juadah berbuka. Tetapi kata-katanya lebih berbaur ugutan, katanya kalau lebih sikitpun memang dia akan caj OT. Suami agak tersentak juga lah sebab masalah sekarang kawasan taska itu berhampiran dengan sekolah menengah. Jadi waktu puncak memang kenderaan bertali arus. Jem! Bukanlah suami sengaja ambil lewatpun. Lagipun berpada-pada lah, sebab bayaran bulanan yang kami bayar dan pilih ialah dari jam 8 pagi hingga 7 petang. Alahai taska.....saat-saat begini terasa bagusnya jika tidak terkejar-kejar. Bekerja dari rumah pastinya menjadi impian.



Azhad dan Azlyn




Sabtu, 19 Julai 2014

Permata hati

Teks : Aminah Mahmud

Assalamualaikum....

Salah satu sebab saya mahu punya blog ialah untuk mencatatkan kisah anak-anak. Ia sebagai tanda ingatan buat mereka. Walaupun kelihatan seperti sudah terlambat, tidak mengapa. Asalkan saya sudah bermula mulai sekarang. Sebelum saya mencoret lebih lagi pengalaman sebagai ibu kepada 4 orang permata hati, baiklah saya kenalkan anak-anak saya.


 Nur Izzah nama diberi. Anak sulung yang kini sudahpun menginjak usia 8 tahun. Sudah bersekolah darjah dua. Saya melahirkan anak sulung di Hospital Temerloh, Pahang. Dia sungguh cerminan diri saya yang agak pendiam dan pemalu di sekolah. Selebihnya memang penakut dan malas makan ubat macam ummmi....hehe. Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi kan. Lebih suka berbaju kurung dan berjubah. Alumni Taski ABIM Serdang.



 Ini pula anak ke-2 kami. Nur Zahra Sufiah, dilahirkan di Hospital Serdang, Selangor. Sekarang dah berusia 5 tahun. Dah masuk tadika di Little Khalifah Iman. Orang kata anak kedua biasanya perangai pelik sikit. Tantrumnya pun boleh tahan kan. Suka selongkar atau baiki barang. Sangat petah berkata-kata @ cakap banyak. Kalau mak saudaranya bertandang ke rumah, 20 minit pertama macam-macam dia nak tanya dan cerita. Tak sempat orang tu nak berehat. Migrain mak sedara. Haha.



Anak ke-3 kami, seorang putera.Muhammad Al-Azhad namanya. Dia pula dilahirkan di Hospital Temerloh, Pahang. Berusia 3 tahun,  suka ikut ayahnya ke surau dan ke kuliah kitab. Moga jadi ustaz bila besar nanti!


Seterusnya anak ke-4 kami, Nur Azlyn Qaisara sudahpun berumur 7 bulan. Kali ni bersalin kat Hospital Serdang, Selangor. 


Salam sayang.

Jumaat, 18 Julai 2014

Tragedi MH17, bertabahlah Malaysia!

Teks: Aminah Mahmud

Bismillahirrahmanirrahim....

Bangun sahur hari ini dikejutkan dengan whatsap yang bertalu-talu dari pelbagai group di handphone. Ia berita yang cukup meruntun jiwa tatkala rakyat Malaysia masih lagi diselubungi dengan insiden yang pertama, kehilangan pesawat MH370. Hari ini MH17 pula yang terhempas dan mengorbankan semua penumpang dan anak kapal. Berat sungguh ujian ini buat mereka yang rapat dengan mangsa. Anak-anak yang kehilangan ibu dan bapa, ibu yang kehilangan anak, isteri yang kehilangan suami dan kehilangan sahabat juga saudara mara yang terdekat. Kita sedekahkan Al-Fatihah buat mereka yang beragama Islam semoga mereka tenang di sana.  

Dugaan di bulan Ramadhan ini pasti punya hikmah tersendiri. Ia menjentik rasa kita yang masih lena, tidur dan selesa. Ia juga mengingatkan tentang kematian yang sangat dekat dan setiap dari kita pasti akan melaluinya. cepat atau lambat.

Di samping itu, kita juga turut sama mendoakan umat Islam di Gaza yang berterusan menjadi mangsa Zionis Israel!

PRAY FOR MH370
PRAY FOR MH17
PRAY FOR GAZA

Allahuakbar!

Khamis, 17 Julai 2014

Snek berkhasiat @ biskut raya



Teks : Aminah Mahmud

Assalamualaikum 

Apa khabar kalian di luar sana, harapnya semua sihat sejahtera. Alhamdulillah, hari ini sudah 18 hari umat islam berpuasa. Hendaknya kita merancakkan lagi amal ibadat di bulan yang penuh berkat ini.

Sudah masuk minggu ketiga puasa ni, kat facebook banyak sekali kawan-kawan yang promosi kuih raya. Setakat ni saya pun dah beli beberapa jenis biskut dan kuih raya. Rancangnya hendak bawa balik kampunglah, tapi bila dah ada kat rumah ni susah jugak. Anak-anak kalau dah nampak, mereka mesti nak makan. Nampaknya saya terpaksa beli untuk kali kedua sebab dah nak habis pun biskut raya dalam botol tu.  Biasanya lepas terawih atau masa sahur mesti nak jamah dan mengunyah biskut raya. Kudapan ringan la katakan...

Saya nak kongsikan satu snek raya yang sedap dan awesome. Tahun lepas ada kawan yang bagi tester, hmm sedap. tapi masa tu saya tak beli sebab tak bawa duit dan dah nak balik kampung. Tak sempat kalau nak order atau tunggu dia hantarkan. Jadi tahun ni saya beli dan jadi pengedar pula. 



Pumpkin kernel & Sunflower bars. Banyak guna biji-bijian seperti biji labu, biji bunga matahari dan disalut dengan madu. Anak-anak saya sangat suka makan snek ni. Lagipun ia berkhasiat dan bukannya disalut gula. Sesuai juga dimakan oleh anak-anak untuk elakkan mereka makan makanan rapu macam cekedis. 


Snek ni didatangkan dalam kotak dan terdapat 8 keping setiap kotak. Setiap keping snek ni dibungkus rapi  dalam plastik. Jadi nak makan satu, bukak satu. Sesuai kalau nak bagi sebagai buah tangan kepada saudara mara atau pun kawan-kawan. Sekotak RM15 sahaja.


Jika mahu tahu lebih lanjut tentang snek di atas, boleh hubungi saya.WhatsApp  0192179233.

Salam sayang.

Rabu, 16 Julai 2014

Anak-anak adalah ujian

Teks: Aminah Mahmud

Semalam saya terserempak dengan seorang sahabat di bank. Sudah lama tidak berjumpa walaupun kami selalu berhubung melalui sms dan wassap. Tetapi bersua beliau semalam sangat menginsafkan diri saya. Kebetulan sudah lama saya bertanyakan khabar dan perkembangan anaknya yang diberitahu sudah lama tidak hadir ke sekolah. Anak nya sudah bersekolah darjah 1 tahun ini. Berbeza umur 1 tahun dengan anak sulung saya. Kesempatan itu saya mengambil peluang bertanya lanjut perihal anaknya. Ceritanya anak beliau kerap demam, kadang - kadang demam panas. Sudah banyak kali ke klinik dan ke hospital dan sekarang dirujuk kepada pakar ENT dan seterusnya pakar kanak-kanak.

Doktor mengesan ada bengkakan kecil pada leher si anak dan keadaan itu mungkin menyebabkan sarafnya sedikit terhimpit. Anaknya juga sekarang sudah tidak selera makan sehinggakan agak kurus dan kurang bermaya. Tambah menyedihkan lagi, kawan saya ini tinggal di rumah flat di tingkat lima dan tiada kemudahan lif. Allah, saya dulu pernah tinggal di rumah flat tingkat 5 ketika punyai 2 orang anak yang masih kecil. Jadi saya merasai susah payahnya nak turun naik mendukung anak kecil. Rasanya kalau dah naik, malas dah nak turun. Kalau dah turun, malas dah nak panjat naik. Penat! eh tapi takkan nak duduk tepi tangga. Tabahlahkan diri panjat tangga. huhu.

Kasihannya pada kawan saya sebab dia juga sedang mengandung sekarang. Jadi sebelum balik ke rumah lepas waktu kerja, dia terpaksa tumpangkan anaknya di rumah adiknya  yang tak perlu panjat tangga. Sebab kalau bawa balik rumah sendiri, anaknya tak mampu nak jalan. Dia pula tak mampu nak dukung panjat tangga sampai tingkat 5 sebab sedang mengandung di awal trimester pertama.

Saya rasa anak yang sakit memang ujian buat ibu bapa. Moga ibu bapa terus di berikan kekuatan menghadapinya dan doakan kesembuhan buat anak yang sakit ini.

Anak adalah anugerah, amanah dan juga ujian buat ibu bapa.



Isnin, 14 Julai 2014

Ke mana wang anda?


Teks : Aminah Mahmud

Assalamualaikum kawan-kawan...

Bersiaran di hari cuti nuzul Quran, saya kira pastinya ramai diluar sana yang mengambil peluang hari ini untuk keluar membeli - belah bagi membuat persiapan hari raya. Maklumlah, kat radio pun sudah mula didendangkan lagu hari raya, makin bertambah semangatlah semua sama ada menyediakan kelengkapan pakaian hari raya untuk anggota keluarga, kelengkapan peralatan dan perhiasan rumah, kuih dan biskut raya, malah kelengkapan bilik tidur juga bertukar semata-mata untuk menyambut hari lebaran!. Sebenarnya tidak salah kita berbuat demikian jika ianya masih dalam kategori keperluan dan bukannya kemahuan yang membazir. Selain itu ianya juga bergantung dengan tahap kewangan setiap individu. Usahlah berlebihan sehingga berhutang untuk perkara yang tidak perlu dan seelok-eloknya bersederhanalah.

Buku: Ke mana wang anda

Oh ya, sebenarnya saya ingin berkongsi tentang sebuah buku yang saya baca bertajuk Ke mana wang anda? ia adalah tulisan Puan Hajah Rohani. Setiap orang tidak kira makan gaji atau bekerja sendiri perlu lakukan audit ataupun analisis ke mana duit yang kita ada dan ke mana kita belanjakan. Ini adalah penting agar kita tahu kenapa duit kita habis setiap hujung bulan. Haha.... 

Baiklah, sebelum pembaca di luar sana turut sama buat analisis apabila selesai membaca entri ini, saya juga mahu paparkan analisis ke mana wang saya dibelanjakan setiap bulan. Ini adalah komitmen saya sebagai seorang wanita yang masih lagi bekerja di sektor kerajaan. 

1. Bayaran ansuran rumah yang didiami sekarang......suami pula membayar ansuran rumah yang terbengkalai.
2. Bayaran ansuran kereta......disebabkan tempat kerja berlainan hala, perlu 2 kereta juga. 
3. Bayaran taska 2 orang anak, 2 orang lagi adalah komitmen suami.
4. Takaful untuk diri sendiri.
5. Potongan bayaran PTPTN.
6. Bayaran bil telefon.
7. Pinjaman komputer.
8. Potongan pelaburan saham public mutual.
9. Potongan zakat automatik setiap bulan.
10. Bayaran sebagai ali koperasi, 
11. Potongan utk simpanan di Tabung Haji
12. Tol dan petrol

Jadi, di atas adalah komitmen setiap saya setiap bulan! Lebihan gaji adalah untuk keperluan runcit atau sekali sekala membeli pakaian. Kawan-kawan pula bagaimana?. Cepat-cepat buat analisis ye.




Khamis, 10 Julai 2014

Servis lipat kain

Entri 4

Teks : Aminah Mahmud


Apa khabar kawan-kawan.

Menjalani hidup sebagai wanita bekerjaya tidak mudah. Jika orang kata menjadi surirumah, kerja rumah tak pernah habis. Wanita bekerjaya ditambah dengan satu lagi kerja di pejabat atau di luar rumah. Menjadikan kerja tak habis-habis.Haha....dan dikala keletihan melanda, mungkin ada kerja-kerja rumah yang terabai. Antara contohnya ialah kerja-kerja melipat kain. Kadang-kadang berbakul baju yang tidak terlipat.


Mujurlah ada yang mahu menolong. Lipat sikit-sikit, kuranglah membukit kain baju itu.


Ada peluang bagi mereka yang berfikir untuk menyelesaikan masalah orang lain. Lihat keratan akhbar di atas, sudah ada servis lipat kain. Alat untuk lipat kain dengan pantas pun dah ada sekarang. Dah ada ke kawan-kawan yang pernah guna servis mereka ini?


Salam sayang...

Rumah terbengkalai

Entri 3

Teks : Aminah Mahmud

Assalamualaikum  dan Salam Ramadhan.

Pernah dengar cerita rumah terbengkalai? Rasanya semua orang pasti pernah terbaca di suratkhabar atau menonton berita di TV perihal isu rumah terbengkalai di Malaysia.

Kami antara orang yang turut sama menjadi mangsa rumah yang dibeli dengan impian menjadi rumahku syurgaku, tetapi akhirnya terbengkalai bertahun-tahun lamanya. Betapa perit dan seksanya kerana penantian bertahun-tahun untuk mendiami kediaman sendiri tidak semudah yang disangka. Bayaran deposit, urusan pinjaman banyak juga telah meleburkan duit yang dikumpul. Lagi terasa apabila bayaran bulanan telahpun dipotong sekian lama. Mungkin tak banyak bagi sesetengah orang lain, tetapi rakyat marhaen macam kami ini, jumlah ansuran bulanan itu banyak juga.

Jika dihitung, tahun ini dah masuk 8 tahun rumah terbengkalai. Kiranya juga dari mula kahwin, belum ada anak sampai dah ada anak dan berumur 8 tahun pun!


                                                         
                                                              Reka letak rumah yang dipamerkan


Camelia, rumah teres 2 tingkat

Semoga di bulan Ramadhan yang penuh berkat ini kami bermohon agar ada sinar di hujung penantian ini. Allahuakhbar!

Sekadar coretan,
Aminah Mahmud

Rabu, 9 Julai 2014

Merangkak macam kuda?

Teks: Aminah Mahmud

Alhamdulillah, anak ke-4 saya, Nur Azlyn Qaisara sudah mencecah usia 6 bulan....rasanya baru sahaja saya melahirkannya. Masih teringat dan terbayang detik kelahirannya hujung Disember 2013. Apa perkembangan bayi seusia 6 bulan?  Ceritanya 2-3 malam lepas, selepas isyak saya terdengar anak ke-2 bercakap -cakap dengan seseorang menggunakan telefon rumah. Rupanya dia menelefon Tok di Dungun...." Tok, baby Sara sekarang dah pandai merangkak macam kuda, dulu dia merangkak macam buaya je". Haha...nak tergelak saya dibuatnya.....punyalah si kakak beria nak terangkan perkembangan terkini adiknya. Kuda dan buaya sebagai perbandingan. Mungkin hanya itu yang terbayang di kepala nya. Anaklah anak..


                                                 Mari lihat foto terkini bayi yang comel itu.....



           Suka hisap jari...hihi. Kalau boleh semua jari tangan mau masukkan dalam mulut.

                                                            Merangkak seperti kuda?

                                                           Merangkak seperti buaya?

Sekadar coretan,
Aminah Mahmud

Isnin, 7 Julai 2014

Resepi butir nangka


 Entri 1

Teks: Aminah Mahmud

Assalamualaikum....
Kita berada di bulan ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan. Semoga kita diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah puasa ini.

Bulan puasa tahun ini kami sekeluarga bertekad untuk kurangkan melancong ke bazar ramadhan. Ini sebagai satu cara untuk mengelakkan rambang mata melihat pelbagai juadah yang dijual. Kalau boleh semua nak beli kan.haha.

Jadi, alternatifnya ialah kami tetapkan satu menu kuih muih setiap hari untuk berbuka. Untuk makanan berat sudah semestinya nasi dengan satu jenis lauk dan satu menu sayur. Ringkas sahaja kan.

Antara menu kategori kuih yang kami dah buat ialah butir nangka. Ini projek bersama anak-anak. Saya bagi peluang anak-anak untuk menguli tepung pulut, buat bulat-bulat dan tengok butir nangka tu timbul apabila dimasukkan dalam periuk berisi air panas.

Bahan-Bahan
1. Tepung pulut
2. Kapur makan
3. Air
4. Pewarna hijau
4. Halba
6.Sebiji telur
7. Santan
8. Gula pasir
9. Halia

Mari kita lihat cara menyediakan kuih butir nangka...


Bancuh tepung pulut dengan air yang telah dimasukkan pewarna hijau dan sedikit kapur makan.


Buat bulat-bulat. ikutlah nak besar mana, kalau boleh jangan besar sangat. Sebab ada budak-budak yang makan, takut tercekik pulak. Sementara itu, panaskan air dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan biji bulat tu dalam periuk. Ia akan timbul terapung ke atas apabila dah masak.

 Angkat dan sejukkan dalam bekas yang berisi air. Sambil tu boleh masukkan santan dalam periuk lain untuk sediakan kuahnya. Masukkan sedikit halba dan hirisan halia, gula secukup rasa. Masukkan biji butir nangka ke dalam periuk dan apabila mendidih masukkan sebiji telur dan kacau.


Dah siap...mari kita menjamu masa berbuka ye. Bagi peluang si cilik yang belum berpuasa cuba rasa. Sedap ke sedap?

Selamat mencuba...


Sabtu, 5 Julai 2014

Pengenalan

Teks : Aminah Mahmud

Bismillah…
Assalamualaikum dan salam sejahtera

Alhamdulillah saya berpeluang untuk mencoret di blog sendiri. Sejujujurnya saya memang tidak pernah mempunyai blog tetapi saya sekadar membaca blog-blog di luar sana. Teruja juga apabila sudah ada blog sendiri. Harapnya saya mampu update blog ini secara konsisten. Terasa rugi apabila pengalaman kita tidak dicatatkan, sekurang-kurangnya  ia bakal menjadi kenangan terindah apabila kita membaca semula setiap  catatan di kemudian hari.


Oh sebelum itu salam perkenalan kepada semua. Nama diberi Aminah Mahmud. Seorang isteri dan juga ibu kepada 3 orang puteri dan seorang putera. Berpengalaman bekerja sebagai kerani di Dewan Perdagangan Islam Selangor dan kerani di sebuah sekolah agama swasta di Pahang sebelum mendapat tawaran  bekerja di sektor awam sebagai penyelidik. Saya merupakan anak ke tiga daripada tujuh adik beradik. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Biokimia (Kep). Saya berasal dari Kelantan dan kini menetap di Selangor.

Saya seorang yang suka berniaga. Malangnya saya seorang yang pendiam dan pemalu. Walaubagaimanapun pengalaman semasa kecil menguruskan kedai runcit milik keluarga adalah pendedahan awal yang saya terima. Pada satu ketika saya menguruskan dari A-Z bisnes kedai runcit ketika ayah mengambil keputusan untuk keluar bekerja sebagai buruh binaan di Singapura. Kedai runcit diuruskan oleh emak dan saya yang ketika itu masih bersekolah menengah. Urusan pembelian barang, susun atur barang, menimbang, check stok barang dan menjaga kedai akan saya lakukan apabila pulang dari sekolah. Walaupun penat saya gembira melakukannya.

Saya mengharapkan peluang mencoret pengalaman dan catatan seharian sebagai usaha untuk mengasah bakat penulisan seterusnya untuk berkongsi pengalaman dengan mereka di luar sana, menambah kenalan di alam maya , dan meningkatkan jaringan perhubungan. Setiap orang pastinya menempuh jalan yang berbeza setiap hari dan pastinya ada sisi-sisi menarik pada setiap pengalaman yang dikongsikan. Perkongsian pengalaman juga sebagai tanda ingatan agar ianya tidak luput diingatan.

Saya juga menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah sebagai persediaan untuk kembali kepada fitrah seorang wanita. Wanita yang menumpukan perhatian terhadap keluarga disamping dapat menambah pendapatan di rumah. Ia impian yang ingin saya gapai setelah bertahun-tahun mengharungi alam kerjaya di luar. Semoga urusan ini dipermudahkan....Amin.