Isnin, 25 Ogos 2014

Perlumbaan tikus

Teks : Aminah Mahmud


Berlari dalam bulatan yang sama....

Semalam adalah hari gaji bagi kakitangan awam sektor kerajaan. Ia merupakan hari yang dinanti-nanti ketika mana duit dalam dompet sudah menipis atau tiada langsung. Hanya mengharap beberapa not merah atau hijau dan barangkali juga duit syiling dalam tabung ayam atau bawah bantal. Masih untung jika ada yang menyimpan di tabung haji, di kala terdesak masih boleh ke tabung haji untuk mengeluarkan sejumlah wang keperluan sementara tiba hari gaji.

Kebiasaan di hari gaji ada yang mengambil kesempatan membawa keluarga makan di luar, membeli-belah dan juga bercuti. Ia adalah hari untuk 'reward' diri dan keluarga.

Tidak pelik juga jika ada yang mengalami situasi dapat gaji terus habis. Bayar ansuran kereta, ansuran rumah, bayaran taska anak- anak, hutang kad kredit, bil utiliti dan membeli stok barang dapur.

Adatlah orang makan gaji, jika tidak betul pengurusan kewangan memang gawat. Tapi jikalau kena gaya dan pandai mengurus kewangan, orang makan gaji juga boleh hidup senang.

Yang nyata, bekerja makan gaji adalah seperti perlumbaan tikus, habis gaji bulan ini dan menanti pula gaji bulan depan. Maka berhemahlah kita dalam perbelanjaan, harus celik pengurusan kewangan, semoga kita tidak selamanya di dalam quadran ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan